Di Saat Terasa Sempitnya Rezeki, Perbanyakkanlah Sedekah

Di saat terasa sempitnya rezeki, perbanyakkanlah sedekah.😊

Kisah ni berlaku pada suatu tahun dahulu. Masa tu kami masih lagi berniaga nasi lemak di gerai tepi jalan. Bangun pukul 3 pagi, masak, lepas subuh terus buka gerai.  

Jualan bagus. Tapi tak boleh pergi jauh. Ada masa cepat je habis. Ada masa terpaksa bungkus dan agihkan pada orang ramai.

Masa ni saya tengah sarat mengandung anak kedua. Kami masih lagi tinggal di rumah flat tingkat 5 tanpa lif. Segala pergerakan keluar masuk hanya melalui tangga-tangga. Ok la kan. Boleh exercise pagi petang.

Bila duduk tingkat tinggi, tekanan air perlahan. Air mengalir sangat menguji kesabaran. Jadi kami ikhtiar buat sendiri sistem perpaipan, guna sistem pelampung untuk tadah air. Dalam rumah penuh tong air.

Cabaran dan kekangan ni semua buat kami selalu  berfikir, 'Kena guna strategi lain kalau nak dapat result lain'. Tapi the problem is how? Kami tak tahu nak adjust apa lagi.

Dah dekat bulan puasa. Kami cuba daftar masuk bazar ramadan. Semua kena reject. Sebab tak bayar saman majlis. Huhu. Macam mana nak bayar.. Nak rolling modal pun jenuh pusing. 😅

Tiba masa saya melahirkan anak kedua. Masa tu duit bercatu. Saya ingat lagi, masa hari pertama Hana Muhayya dilahirkan, itulah juga kali pertama kami beli baju anak, baru beli pampers, tilam anak.

Beli yang wajib je. Baju -baju Hana Humaira yang lama, saya keluarkan semula, pakaikan pada adiknya. Mujur baju masih elok lagi.

Masa tu saya pilih untuk berpantang di rumah mak di Kedah. Jadi suami perlu kembali semula ke Shah Alam mencari sesuap nasi.

Saya tanya suami, 'Abang nak niaga apa lepas ni? Kita mana ada tapak nak niaga mana mana'

Suami hanya jawab, 'InshaAllah selagi mana kita usaha, selagi tu rezeki ada'

Tulus betul keyakinan beliau.

Sebelum turun dari rumah, suami menghulurkan sekeping not RM20. Perlu bertahan sampai raya. Sebulan. 😢Hanya itu yang mampu diberi ketika itu.

Saya sambut salam. Saya tahu, suami hanya ada duit cukup-cukup untuk sampai Shah Alam.

Mula saat tu, saya fikir, saya mesti buat sesuatu. Mesti mulakan dengan apa ada di tangan. Dalam kepala ligat fikir cara nak dapat duit.

Wang rm20 itu, saya guna untuk topap bil telefon. Mujur adik jual topap. Saya minta topap rm30 untuk sebulan, duit ada rm20, minta hutang rm10. Raya nanti bayar.

Bila dah topap telefon tu, saya mula promote jualan pada semua orang. Kebetulan masa tu bulan puasa. Saya ambil upah masakkan makanan berbuka puasa atau sahur dan hantar pada penerima. Selalunya dapat tempahan dari   insan dermawan yang nak menjamu anak2 yatim dan asnaf.

Saya ambil order, masakkan makanan, dan agihkan pada penerima. Kemudian saya hantar gambar kepada penderma. Tanda amanah sudah diselesaikan.

Masa tu lah saya belajar untuk bersedekah dengan istiqomah. Sungguhpun saya tak mampu lakukan sendiri, tapi saya bantu orang untuk bersedekah.

Saya mula kenal beberapa pusat kebajikan. Saya mula selami betapa bermaknanya sedekah kita pada penerima.

Saya mula faham sesuatu. Sedekah itu perlukan mujahadah. Saat kita rasa susah, waktu itulah kita perlu gandakan sedekah.

Dan saya makin faham, saat kita menghulur tangan untuk bersedekah, bukan bermaksud kita punya segala-galanya, tapi kita lebih faham, betapa peritnya rasa, pabila kita tak punya apa-apa.

Yang mengajar kita untuk yakin dengan Tuhan. Takkan miskin mereka yang memberi. Saya makin percaya. Dalam rezeki kita tersimpannya rezeki orang lain.

Allah tak jadikan suatu benda dengan sia-sia. Bila dah mula ambil tempahan makanan, saya dapat ilham untuk daftar akaun syarikat. Daftarkan nenekatering. Dari situ bermulanya dunia katering kami.

Alhamdulillah. Bisnes kami berjalan dengan baik. Makin baik. Daripada tak punya apa-apa. Kini kami makin optimis untuk mengukuhkan nama nenekatering.

Kadang kadang bila dikenang, rasa tak percaya. Saya dah pun lalui saat ini. Kalaulah saya hanya meratap dan menyerah masa tu. Kalaulah saya tak buat apa-apa. Mungkin saya masih terkial-kial tanpa tujuan.

Banyak kami belajar dari pengalaman. Dari situ kami belajar erti keberanian. Dari situ kami faham erti kecekalan.

Tapi hidup ini adalah pilihan. Pengalaman yang kita lalui sangat bernilai. Bila kita terdesak, bila kita sesak, masa tu kita ada pilihan. Sama ada nak cipta masa depan, atau hanya sekadar teruskan berangan.

**gambar menunjukkan Hana Muhayya sewaktu masih seorang bayi.

Dialah kekuatan, yang memaksa saya buat keputusan. Ikhtiar apa sahaja jalan. Untuk teruskan kehidupan.

.
.

No comments:

Post a Comment