KATERING MENDEBARKAN

Semalam berkesempatan serve katering untuk sebuah ofis. Agak mencabar juga servis kali ini. Atas kekangan tertentu, kami perlu ubah hampir keseluruhan order kurang 10 jam sebelum majlis.

Memang ketar juga lutut nak handle semuanya. Mula-mula rasa nak nangis juga. Nak kena ubah sini sana. Tengok jam. Tengok keliling. Dah tengah malam. Sempat ke ni? Alaaa...😢😢

Tapi atas kepercayaan tuan rumah, kami teruskan juga.  Tepuk bahu, 'Ukenduit'.😉

Alhamdulillah. Semua berjalan lancar. Rasa puas hati bila customer bagi feedback positif.  😊

Semakin lama menceburkan diri dalam dunia katering, samakin banyak saya belajar.

Jatuh longkang, langgar dinding, terjun lubang, semua itu mematangkan. Saya anggap ia adalah yuran pengalaman yang tak mampu dibayar.

CERITA HIDUP KITA TAK SAMA

Awal pagi lagi Humaira dan Muhayya dah bangun. Hari ni Humaira ada appointment dengan speech therapy. Adik Muhayya kita hantar ke rumah pengasuh. Sebab appointment kali ni papa tak dapat hadir.

Hari ni papa ada sesi temuramah dengan pelajar UITM Shah Alam berkaitan pembangunan perniagaan industri katering.

Dalam sesi temuramah ni papa akan kongsikan berkenaan visi dan misi yang ingin dicapai oleh Nenekatering Services dalam 10 tahun akan datang.

Jadi oleh sebab mama perlu teman Humaira jumpa therapist, maka mama tak dapat attend sesi temuramah pagi tadi. Takpelah.

Bila ada urusan famili dan bisnes bertembung, pasti kami akan bahagi tugas masing-masing. Famili diutamakan, dan bisnes tak diabaikan.

Masa jumpa therapist tadi, Humaira behave. Tapi sepatah pun tak bercakap. Sepanjang sesi dibuat, banyak perkara baru mama belajar. Banyak lagi kena study.

Rupa-rupanya banyak lagi Humaira kena kejar untuk sama dengan kawan sebaya. Umur Humaira 4 tahun. Sepatutnya dah boleh membuat ayat lengkap. Tapi Humaira baru boleh sebut tak lebih 20 patah perkataan. Tu pun satu suku kata.

Tapi kan Humaira, biarpun perkembangan Humaira tak sama macam orang lain, mama tetap bangga dengan Humaira. Sebab Humaira dah tunjuk peningkatan berbanding dengan perjumpaan setahun yang lalu.

Last appointment tahun lepas. Lepas tu ada 3 hingga 4 appointment terpaksa ditunda. So sebab tu mama perlu rehatkan Humaira dari buat terapi sementara waktu.

Mula mula doktor tanya juga, kenapa lama sangat tak datang terapi. Jadi mama explain pada doktor, banyak tarikh appointment bertembung dengan tarikh Humaira admit wad.

Humaira ingat tak tahun lepas? 10 kali admission sepanjang tahun. Mesti Humaira ingat kan? 50 hari tidur hospital. Sambung lagi 3 bulan mama cuti.

Doktor kata Humaira kena rajin melompat. Kena rajin bergayut. Kena rajin sebut. Baru boleh cepat cakap. Tapi Humaira tak boleh buat dengan agressive. Sebab Humaira baru pulih. Humaira cepat letih. Tak boleh melasak. Tak boleh dipaksa.

Kadang kadang mama tanya Tuhan, kenapa Humaira mesti lalui semua ni? Kenapa mahal sangat nikmat sihat untuk Humaira? Apa salah Humaira?

Mama tahu, suatu hari nanti Humaira pasti tanya mama, kenapa jalan hidup Humaira begini?

Sebenarnya kan Humaira, hidup ni terlalu singkat untuk kita persoal takdir kita. Masa kita terlalu terhad untuk kita berlari mengejar orang lain. Kita hanya akan rasa terus gagal bila kita membanding dengan orang lain. Kita tak perlu semua tu.  Kita sentiasa menang kerana kita adalah juara.

Kerana jalan hidup kita tak sama. Cerita kita berbeza. Sebab sesungguhnya impian kita tak serupa.

Kita hanya perlu bertanding dengan diri sendiri. Kita adalah apa yang kita fikir. Tuhan dah tetapkan jalan hidup kita. Yang penuh warna. Untuk kita nikmati. Indahnya hidup bila fitrah jiwa berTuhan.

#hanahumaira
#anaksyurga

Di Saat Terasa Sempitnya Rezeki, Perbanyakkanlah Sedekah

Di saat terasa sempitnya rezeki, perbanyakkanlah sedekah.😊

Kisah ni berlaku pada suatu tahun dahulu. Masa tu kami masih lagi berniaga nasi lemak di gerai tepi jalan. Bangun pukul 3 pagi, masak, lepas subuh terus buka gerai.  

Jualan bagus. Tapi tak boleh pergi jauh. Ada masa cepat je habis. Ada masa terpaksa bungkus dan agihkan pada orang ramai.

Masa ni saya tengah sarat mengandung anak kedua. Kami masih lagi tinggal di rumah flat tingkat 5 tanpa lif. Segala pergerakan keluar masuk hanya melalui tangga-tangga. Ok la kan. Boleh exercise pagi petang.

Bila duduk tingkat tinggi, tekanan air perlahan. Air mengalir sangat menguji kesabaran. Jadi kami ikhtiar buat sendiri sistem perpaipan, guna sistem pelampung untuk tadah air. Dalam rumah penuh tong air.

Cabaran dan kekangan ni semua buat kami selalu  berfikir, 'Kena guna strategi lain kalau nak dapat result lain'. Tapi the problem is how? Kami tak tahu nak adjust apa lagi.

Dah dekat bulan puasa. Kami cuba daftar masuk bazar ramadan. Semua kena reject. Sebab tak bayar saman majlis. Huhu. Macam mana nak bayar.. Nak rolling modal pun jenuh pusing. 😅

Tiba masa saya melahirkan anak kedua. Masa tu duit bercatu. Saya ingat lagi, masa hari pertama Hana Muhayya dilahirkan, itulah juga kali pertama kami beli baju anak, baru beli pampers, tilam anak.

Beli yang wajib je. Baju -baju Hana Humaira yang lama, saya keluarkan semula, pakaikan pada adiknya. Mujur baju masih elok lagi.

Masa tu saya pilih untuk berpantang di rumah mak di Kedah. Jadi suami perlu kembali semula ke Shah Alam mencari sesuap nasi.

Saya tanya suami, 'Abang nak niaga apa lepas ni? Kita mana ada tapak nak niaga mana mana'

Suami hanya jawab, 'InshaAllah selagi mana kita usaha, selagi tu rezeki ada'

Tulus betul keyakinan beliau.

Sebelum turun dari rumah, suami menghulurkan sekeping not RM20. Perlu bertahan sampai raya. Sebulan. 😢Hanya itu yang mampu diberi ketika itu.

Saya sambut salam. Saya tahu, suami hanya ada duit cukup-cukup untuk sampai Shah Alam.

Mula saat tu, saya fikir, saya mesti buat sesuatu. Mesti mulakan dengan apa ada di tangan. Dalam kepala ligat fikir cara nak dapat duit.

Wang rm20 itu, saya guna untuk topap bil telefon. Mujur adik jual topap. Saya minta topap rm30 untuk sebulan, duit ada rm20, minta hutang rm10. Raya nanti bayar.

Bila dah topap telefon tu, saya mula promote jualan pada semua orang. Kebetulan masa tu bulan puasa. Saya ambil upah masakkan makanan berbuka puasa atau sahur dan hantar pada penerima. Selalunya dapat tempahan dari   insan dermawan yang nak menjamu anak2 yatim dan asnaf.

Saya ambil order, masakkan makanan, dan agihkan pada penerima. Kemudian saya hantar gambar kepada penderma. Tanda amanah sudah diselesaikan.

Masa tu lah saya belajar untuk bersedekah dengan istiqomah. Sungguhpun saya tak mampu lakukan sendiri, tapi saya bantu orang untuk bersedekah.

Saya mula kenal beberapa pusat kebajikan. Saya mula selami betapa bermaknanya sedekah kita pada penerima.

Saya mula faham sesuatu. Sedekah itu perlukan mujahadah. Saat kita rasa susah, waktu itulah kita perlu gandakan sedekah.

Dan saya makin faham, saat kita menghulur tangan untuk bersedekah, bukan bermaksud kita punya segala-galanya, tapi kita lebih faham, betapa peritnya rasa, pabila kita tak punya apa-apa.

Yang mengajar kita untuk yakin dengan Tuhan. Takkan miskin mereka yang memberi. Saya makin percaya. Dalam rezeki kita tersimpannya rezeki orang lain.

Allah tak jadikan suatu benda dengan sia-sia. Bila dah mula ambil tempahan makanan, saya dapat ilham untuk daftar akaun syarikat. Daftarkan nenekatering. Dari situ bermulanya dunia katering kami.

Alhamdulillah. Bisnes kami berjalan dengan baik. Makin baik. Daripada tak punya apa-apa. Kini kami makin optimis untuk mengukuhkan nama nenekatering.

Kadang kadang bila dikenang, rasa tak percaya. Saya dah pun lalui saat ini. Kalaulah saya hanya meratap dan menyerah masa tu. Kalaulah saya tak buat apa-apa. Mungkin saya masih terkial-kial tanpa tujuan.

Banyak kami belajar dari pengalaman. Dari situ kami belajar erti keberanian. Dari situ kami faham erti kecekalan.

Tapi hidup ini adalah pilihan. Pengalaman yang kita lalui sangat bernilai. Bila kita terdesak, bila kita sesak, masa tu kita ada pilihan. Sama ada nak cipta masa depan, atau hanya sekadar teruskan berangan.

**gambar menunjukkan Hana Muhayya sewaktu masih seorang bayi.

Dialah kekuatan, yang memaksa saya buat keputusan. Ikhtiar apa sahaja jalan. Untuk teruskan kehidupan.

.
.

HENDAK SERIBU DAYA

Tempoh hari sewaktu saya melangkah keluar rumah, saya ternampak 2 orang anak muda berbangsa Tiong Hua yang sedang gigih mengedar flyers yang menawarkan perkhidmatan memasang unifi di kediaman sendiri.

Waktu tu bukan awal pagi, tapi awal tengah hari. Saat matahari hampir tegak terpacak di atas kepala. Confirm panas membahang. Confirm bermandi peluh.

Saya kira umurnya dalam belasan tahun. Baru habis SPM mungkin.  Dengan hanya berbaju tshirt tanpa kolar, dan berseluar pendek, bersama sama sebuah beg galas penuh berisi flyers, mereka menapak dari rumah ke rumah.
.
.
Kagum. Respect.

Di saat orang lain sibuk mempromosikan barangan secara online, mereka selamba buat secara offline.
Di saat orang lain asyik mengharapkan orang menawarkan kerja, mereka sudah bergerak bekerja.
Di saat orang lain memilih untuk bekerja di dalam bilik berdingin hawa, mereka tak kisah berpeluh ketiak di bawah suria.

Sungguh. Dalam hidup ni ada banyak cara untuk bekerja. Online atau offline. Kejayaan bukanlah terletak kepada apa yang kita harapkan. Tapi bergantung pada bagaimana kita jayakan.

Jikalau kita mendambakan untungnya 9/10 kekayaan, keluarlah berniaga. Walau dengan apa cara. Dengan seribu daya. Kerana di sini kita akan kenal beribu orang. Kita akan hadap bermacam ragam.
Jatuh bangun dalam berniaga itu biasa. Kena sailang itu permainan jiwa. Kena reject itu adat niaga.

Bangunlah. 

Bertahanlah.

Ajarlah diri menjadi kuat. 
Didiklah diri tak patah semangat. 

Kerana sesungguhnya rezeki itu sentiasa ada.
 Bagi mereka yang tak kenal putus asa.



Koleksi Resepi Makan Beradab Untuk Pengantin Yang Simple

Resepi-resepi ringkas yang saya kongsikan adalah kompilasi dari sumber majalah, internet dan juga sedikit sebanyak pengalaman saya sendiri dalam 'menyibuk' menyediakan hidangan makan damai untuk pengantin.

1. Resepi Salad Telur Puyuh




Bahan-bahan:
20 biji telur puyuh
1/2 biji timun dihiris
6 tangkai daun salad
sedikit sos cili

Cara Membuatnya/Cara Menghias:
1. Basuh telur puyuh, rebus.kemudian buang kulitnya
2. Basuh timun dan daun salad toskan airnya                                                                     
   (rendam dengan air garam, tos dan lap dengan tuala kecil).
3. Hias salad dan timun di atas piring yang sederhana besar
4. Letak telur puyuh yang telah direbus tadi diatasnya
5. Curahkan sos cili keatasnya
6. Sedia utk dihidangkan

Untuk memudahkan pengantin makan, boleh juga dicucuk telur puyuh tersebut dengan batang lidi. Selamat mencuba ya!

REALITI APABILA MEMBERI

Baru 3 hari lepas saya terima wasap dari seorang wakil di pusat kebajikan asnaf yang memohon bantuan saya untuk jualkan produk makanan mereka. Untuk kutip dana bayar asrama katanya. Kewangan sedia ada tak dapat menampung belanja.
Dan hari ni dapat pula berita orang ramai tak kira siapa, dapat tajaan boleh berbelanja RM3k di pasaraya mewah. Dan hasilnya hanyalah barang-barang belian bersepah berterabur di sepanjang pasaraya tersebut.
Realiti apa yang sedang berlaku ni? Apa dah jadi dengan masyarakat kita?
Orang yang betul-betul susah, yang korbankan hidupnya semata-mata memelihara anak-anak asnaf, terpaksa merayu kepada orang ramai untuk beli produk mereka. Semata-mata nak bayar asrama.
Mereka tidak merendahkan maruah dengan meminta sedekah. Tapi mereka berusaha menjual produk makanan bagi menampung belanja wajib bulanan.
Dan golongan senang pula mudah-mudah tadah tangan ditabur belanja. Akibat tamak haloba, habis berterabur makanan semua. Inikah contoh yang kita banggakan? Inikah masyarakat yang kita idamkan?
Bersedekah hanya pada orang yang benar-benar layak. Bagi golongan yang mampu mengeluarkan belanja sendiri, mereka tak layak terima sedekah. Yang layak hanya terima hadiah. Perlu bijak untuk membezakan antara sedekah dan hadiah.
Kadang-kadang, akibat ghairah dengan nama dan kebendaan, kita terlupa untuk membezakan antara keperluan dan kehendak. Kita buta untuk melihat yang mana merangkak meraih tuah, dan yang mana mendada menjunjung sampah.
Sedarlah semua. Ternyata kita dah banyak terlajak dari landasan ajaran Islam yang syumul. Kalaupun tidak kisah dengan orang sebelah, paling tidak kasihanilah dengan diri kita sendiri. Kerana sesungguhnya, kita golongan bijak!
.

ISTIMEWA PAKEJ RAMADHAN (BUKA PUASA DAN SAHUR)

Salam.

Sempena bulan Ramadhan yang kali ini, pihak Nenekatering menyediakan beberapa pilihan pakej yang istimewa, sesuai dengan citarasa anda.

Anda hanya perlu buat pilihan, dan hubungi pihak kami dengan segera.

Bulan puasa selalunya banyak tempahan. :)

Jom lihat apa pakej yang kami sediakan :






KATERING FOR ALL EVENTS

Sekarang ni kalau nak buat event senang je. Just sediakan bajet per pax, pilih menu yang sesuai, dan tunggu makanan sampai ke muka pintu.

Tak payah masak.
Tak payah kemas.
Tak payah basuh pinggan.

Yang lagi best,

Makanan dijamin kualiti
Dimasak di dapur khas
Sebut harga disediakan
Pramusaji beruniform pun ada
Foodtesting percuma
Setiap transaksi disertai invois
Syarikat berdaftar

Kami terima semua tempahan untuk semua majlis. Minimum 50pax. Harga dan menu boleh runding. Jom kita bincang sampai jadi.

akikah | harijadi | kesyukuran | tahlil | meeting | tunang | nikah | sanding

Roger krew Nenekatering untuk tempahan +60145965015 / +601110763654

#kateringshahalam
#nenekatering

JANGAN PUTUS ASA

Pagi ni saya mendapat perkongsian yang sangat bermakna. Sampai saya rasa bersalah kalau tak kongsi dengan kawan-kawan.

Kisahnya begini. Pada zaman Nabi Musa A.S , ada seorang wanita yang telah berkahwin dan tidak dikurniakan anak. Wanita tersebut datang kepada Nabi Musa A.S untuk berdoa untuknya.

'Wahai Nabi Musa, doakanlah untukku agar dikurniakan seorang anak.' wanita itu merayu kepada Nabi Musa A.S.

Maka Nabi Musa A.S mengangkat kedua tangannya lalu berdoa, 'Wahai Allah, kurniakanlah kepada wanita ini seorang anak,'

Nabi Musa telah dikurniakan mukjizat yang boleh membuatnya bercakap secara terus (direct) kepada Allah.

Allah menjawab doa Nabi  Musa A.S,  'Wahai Musa, ketahuilah dikau bahawa sesungguhnya Aku telah takdirkan wanita ini tidak subur (mandul)'.

Nabi Musa A.S  menyampaikan jawapan Allah kepada wanita tersebut. Maka wanita itu pulang ke rumahnya dengan perasaan sugul dan sangat sedih.

Tidak lama selepas itu, wanita yang sama datang lagi menghadap Nabi Musa A.S. Memohon didoakan agar dikurniakan anak.

Lalu Nabi Musa A.S berdoa lagi kepada Allah. Dan Allah menjawab jawapan yang sama.

Wanita itu pulang dan tidak kembali lagi.

Selang setahun,  wanita yang sama datang bertemu Nabi Musa A.S dengan memangku seorang bayi.

Nabi Musa A.S bertanya, 'Wahai wanita dihadapanku, anak siapakah bayi kecil ini?'

Wanita menjawab dengan gembira, 'Wahai Nabi Musa, inilah anakku. Tuhan yang Maha Penyayang telah mengabulkan doaku,'

Nabi Musa A.S lalu bertanya kepada Tuhan, 'Wahai Allah, bukankah Engkau telah takdirkan wanita ini tidak subur (mandul)? Bagaimana boleh wanita ini melahirkan anak?'

Maka Allah menjawab persoalan Nabi Musa A.S, 'Wahai Musa, sesungguhnya Aku telah takdirkan wanita ini tidak subur(mandul). Tapi wanita ini tetap bermohon kepadaKu agar dikurniakan anak. Maka kasih sayangKu terhadap hamba-hambaKu telah mengatasi takdirKu terhadap hamba-hambaKu.'

.
.
.

Tuhan di zaman Nabi Musa, juga Tuhan kita.
Tuhan yang kabulkan doa wanita ini, juga Tuhan  kita. Tuhan yang sama, yang kasih sayang terhadap hambaNya melebihi takdirNya.

Yakinlah, Allah itu Maha Penyayang kepada setiap jiwa yang tenang.

Percayalah, Allah itu Maha Pengasih kepada hamba yang menagih.

Berdoalah, Allah itu Maha Mengabulkan doa insan yang bergantung harapan.

Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi mana-mana hambaNya. Marilah kita sama-sama berusaha dan berdoa.

Janganlah kita berputus asa dengan rahmat Allah. Kerana sesungguhNya Allah akan mengabulkan setiap doa yang dipinta hambaNya.

.
.
Peringatan buat saya yang menulis,
Nurjuwaini Aziz

.
credit to Syazwani Shariff .

BUBUR CHA CHA

Sesekali kita buat bubur cha cha. Sedapnya rasa lemak manis santan kelapa muda.

RESEPI MUDAH FRESH FRUIT COCKTAIL

Cuti sekolah hari tu ambil bahagian siapkan juadah makanan beradap pengantin.

Disebabkan saya mementingkan masa dan kesedapan asli, maka terciptalah sebuah dessert mudah lagi sedap. Everybody like it.

Fresh Fruit Cocktail

buahan segar:
epal merah
epal hijau
honey dew
anggur
kiwi

bahan sos:
1 cawan tepung kastard
2 cawan susu cair
1/4 cawan gula
1 ikat daun pandan

caranya:
1.masukkan bahan sos kedalam periuk. kacau sentiasa sehingga kuah pekat mendidih.

2.potong kiub buahan segar. rendam dalam air garam.

3.masukkan buahan ke dalam mangkuk dessert

4.tuang sos rata ke dalam mangkuk buah tadi

5.sejukkan ke dalam peti sejuk

6. sedia untuk dihidang

**amaran: jangan guna buah oren. pahit 😣

#nenekatering

Perkara perlu diambil kira sebelum membuat keputusan untuk deal dengan wedding planner.

Tempoh hari saya terbaca kisah viral katering tak munculkan diri pada hari majlis perkahwinan diadakan. Bukan sebarang owner, tapi pakar di negara. Alkisahnya customer berurusan dengan wedding planner, merangkap pihak pakar katering sendiri.

Pada hari kejadian, ahli lain seperti mak andam, photographer, bridal boutique, semua muncul. Walau belum dapat bayaran daripada pihak pakar katering.

Jadi disebabkan dah last minute, sehari sebelum majlis baru tahu katering takde. Pihak pengantin dan keluarga terpaksa bertungkus lumus untuk mengambil alih tugas katering. Bukan sedikit jumlah tetamu. 1000pax.

.
.
.
Sedih. Saya sendiri rasa terkilan dan kecewa bila berlaku kes macam ni. Sedikit sebanyak telah mencalarkan imej peniaga katering. Kewibawaan diragui. Kredibiliti diragui.

Sebenarnya bila nak mengadakan sesuatu majlis, ada beberapa perkara perlu diambil kira sebelum membuat keputusan untuk deal dengan wedding planner.

1. Kenal pasti harga

Banyak yang menawarkan pakej all in one. Bayar sekali, dapat semua. Bayar harga katering. Dapat percuma pelamin, gambar, mekap, dewan, kerusi, meja, kipas, lampu, periuk, belanga.

Macam ni, bila ditawarkan harga terlalu murah, cuba selidik semula.

Contohnya pakej rm9999.99  untuk 1000pax

Dapat segalanya. mekap. pelamin. bunga. carpet. dewan. kerusi meja.

Cuba dapatkan harga untuk 1 item.

rm9999.99 ÷ 1000pax = rm9.99

Ok sekarang dengan harga rm9.99 , cuba anggap kita sedang membeli di kedai makan. Berapa jenis lauk kita dapat? Pemilik kedai bagi free gift tak?

2. Cuba berurusan direct dengan pihak lain.

Maksudnya, kalau kita nak guna khidmat photographer, cuba dapatkan contact number photographer berkenaan. Minta pada wedding planner tersebut.

Sepatutnya mereka takda masalah untuk membenarkan kita berurusan terus dengan pihak lain. Kerana mereka bekerja dibawah pengurusan yang sama.

Sama juga dengan mua. Cuba berurusan sendiri.

Kalau banyak syarat diberikan untuk berurusan terus, anda berhak meragui kredibiliti wedding planner berkenaan.

3. Dapatkan harga loose

Maksudnya begini. Bila dah diberi harga pakej all in one. Anda boleh juga tinjau harga loose setiap satu barang yang anda dapat.

Kalau dapat pelamin free, kerusi meja free, mekap free. Cuba dapatkan harga setiap satu. Berapa harga pelamin. Berapa harga kerusi meja. Berapa harga mekap.

Bila dah dapat harga satu persatu. Cuba sum up harga. Termasuk harga katering yang anda bayar.

Katakanlah harga yang anda dapat:

Pelamin rm500
Kerusi meja rm1500
Mekap rm300

Total rm2300

Ok sekarang cuba combinekan harga pakej yang anda bayar. rm9999.99

Harga pakej rm9999.99
- harga (pelamin +kerusi meja + mekap) rm2300
= rm 7699.99

So jumlah katering 1000pax anda bayar pada harga rm7699.99

Sekarang kira pula jumlah 1pax

rm7699.99 ÷ 1000 = rm7.6999

Jadi lebih kurang dalam rm7.69/pax. Dengan jumlah ini, apakah menu yang anda akan dapat bila makan di kedai?

4. Order lebih bayar kurang

Banyak yang menganggap bahawa bila order bertambah, maka harga makin murah. Sebenarnya tidak. Semakin banyak order, semakin tinggi modal dikeluarkan. Kerana semakin banyak tenaga kerja diperlukan. Tenaga kerja yang digunakan harus menerima upah bayaran. 

Ini order makanan fresh from kitchen. Bukan order makanan frozen. Makanan perlu diproses dan dimasak pada hari kejadian. Jadi tidak boleh tidak, mesti banyak tenaga kerja digunakan untuk menyiapkan tempahan.

5. Usaha tangga kejayaan

Kesimpulannya, bila kita nak mengadakan sesuatu yang besar, kita mesti kerja keras. Takde jalan pintas. Selidik dulu dengan siapa kita berurusan.

Dapatkan hitam putih setiap kali kita membuat transaksi. Pastikan pihak penerima bayaran mengeluarkan invois.

Bila terima makanan pada hari majlis, pastikan anda menerima delivery order. Di situ ada menyatakan jumlah makanan dan semua perkhidmatan yang hadir pada majlis.

Ini penting untuk mengelakkan masalah di kemudian hari. Tuan rumah boleh tengok sama ada makanan sampai mencukupi dengan jumlah order.

Yang lebih penting, dengan adanya hitam putih perjanjian, lebih mudah untuk kita rujuk dan gunakan sekiranya berlaku sesuatu diluar kawalan kita.

.
.
Kita menilai menggunakan akal dan minda.

Ayuh menjadi bijak

Caterer muda,
Nurjuwaini Aziz
Nenekatering

#kateringshahalam

BUAT SURVEY UNTUK KATERING

Bila nak buat event, memang ramai yang survey dulu. Tinjau banyak katering untuk mencari yang terbaik.

Betul tindakan tu. Memang tindakan bijak. Jadi kalau nak survey, jangan sekadar survey harga dan berapa item boleh dapat, tapi survey juga nilai yang kita dapat.

Saya faham bila ramai yang membandingkan harga. Tapi jadi kasihan apabila ramai kelabu mata bila ditawar buy 1 free 10. Terus hilang logik bila dapat harga tak masuk akal.

Sesuatu harga barang dijual bergantung pada nilai kos modal yang dikeluarkan. Semakin tinggi nilai kos modal, semakin tinggi harga dijual. Kalau kos modal RM2. Mustahil dijual pada RM1. Itu bukan perniagaan. Itu kebajikan.

Kita perlu pandai membezakan antara perniagaan dan kebajikan. Sebab tu dalam niaga ada zakat. Dalam kebajikan ada sedekah. Boleh rujuk ustaz ustazah apakah beza antara zakat dan sedekah.

Kena juga faham kenapa benda sama dijual dengan harga berbeza. Kereta BMW sama dengan kereta kancil. Dua dua ada empat tayar. Ada hon. Kena isi minyak. Sama sama boleh dipandu. Tapi tetap harganya berbeza. Sebab nilai. Nilai yang ada pada BMW yang membezakan harganya dengan kereta kancil. Yang ni tak perlu explain banyak, semua dah faham.

Begitu jugalah keadaannya kenapa katering dijual dengan harga berbeza. Bukan sekadar banding pada bilangan jenis lauk yang dapat. Tapi bandingkan juga pada kualiti yang kita dapat.

Senang je nak faham. Barang bagus semestinya bernilai. Nak dapat mesti ada harga. Jadi semakin tinggi kualiti barang, semakin tinggi nilai modal, semakin tinggi nilai jualan.

Semoga lebih ramai yang celik memilih nilai dalam membanding harga.

Saya,
Nurjuwaini Aziz
Nenekatering

#shahalamkatering
.

MENU MAKAN BERADAP DI MAJLIS KAHWIN

Bila ada majlis kahwin, menu makan beradap akan jadi kepentingan.

Bukan sahaja kesedapan makanan diutamakan, tapi presentation juga diberi perhatian.

Setting kerusi meja, pilihan set kutleri, seni lipatan napkin, hiasan makanan mesti diatur kemas. Ibarat kata, cantik mata memandang, sedap lagi bila dimakan.

Simple dan kemas menjadi pegangan. Menu asas, sedapnya rasa masam manis siakap tiga rasa, rangupnya krup krap ayam goreng crispy bersama sos black pepper, manisnya terasa di lidah bila makan udang butter. Cantiknya tersusun fruit kabobs. Mudah pengantin nak makan. Pelengkap hidangan koktel buahan tropika segar.

Tak perlu hiasan berat lagi crowded. Kerana semestinya simple itu cantik. Yang penting, mudah raja sehari nak santap. 😎

.
#nenekatering
#makanberadappengantin

NAK JADI PENAJA?

Assalamualaikum Tuan,

Maaf mengganggu.

Nenekatering Services sedang merancang untuk mengadakan jamuan makan untuk murid Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih di Chow Kit.

Sumbangan target untuk 50org murid di sana. Lagi banyak sumbangan lagi ramai boleh makan.

Untuk makluman Tuan,  murid-murid ini adalah anak-anak gelandangan yg dikumpulkan untuk belajar di sekolah.

Jadi kami berbesar hati untuk menjemput Tuan untuk menjadi sebahagian daripada penaja.

Tuan boleh komen atau pm sekiranya berminat untuk menjadi penaja.

Terima kasih atas kerjasama dan keprihatinan Tuan selama ini.

gambar dibawah adalah sebahagian tajaan makanan yang pernah kami uruskan sebelum ini.

SUMBANGAN MAKAN UNTUK ANAK YATIM

Baru baru ni saya terima wasap dari seorang sahabat. Bertanyakan tentang sumbangan makan untuk anak-anak yatim mahupun golongan asnaf.

Saya jawab masih on. Kalau ada yang berhajat nak buat sumbangan, saya boleh uruskan.

Seperti biasa, selepas makanan dihidangkan, saya akan hantarkan gambar pada pemberi sumbangan. Untuk tanda kenang kenangan.

Jadi sahabat pun kirimkan beberapa not. Saya pun hubungi ustaz yang menguruskan pusat tahfiz berkenaan.

Alhamdulillah, seperti biasa mereka tersangat happy lagi gembira bila dapat makanan sponsor.

Kadang kadang terfikir juga, bila saya sendiri terkesan dengan ekonomi sekarang, anak minta apa apa pun kita usaha bagi juga.

Tapi tidak bagi mereka. Sekadar menumpang kasih di sebuah teratak. Mengharap sayang pada yang berjuang.

Sungguh, dalam rezeki kita ada rezeki orang lain sama. Dalam sedekah ada ibadah. Suburkan rezeki dengan memberi .

Kerana ini jugalah kita mesti menjadi golongan pemberi. Kita mesti kuat untuk bisa menghulur dan bersyukur.

MERAYU UNTUK MERASAI NASI LEMAK NENEK

Masa hari Humaira sepatutnya masuk OT hari tu, belah paginya kami mendapat tempahan katering. Datangnya dari seorang customer lama kami. Beliau pernah menjadi regular tetap kami sewaktu kami berniaga gerai nasi lemak dulu.

Kalau diikutkan, kami memang closed order pada hari berkenaan, sebab Humaira memang tengah queue untuk masuk OT. Tapi disebabkan, Puan Ad dah merayu untuk merasa Nasi Lemak Nenek. Bukan tu je, Puan Ad siap order nasi menu lengkap nasi lemak berserta lauk pauk sekali.

Semuanya menu yang kami buat masa niaga gerai. Nasi lemak ayam goreng, sambal sotong, paru berlada, siap order ayam lebih dan sambal lebih lagi.

Yang lebih terharunya, bila kami beritahu yang minimum order 50pax, Puan Ad sanggup order 50pax, semata mata mahu meet the minimum requirement.

Saya ingat lagi Puan Ad cakap sewaktu call saya tempoh hari, 'Takpelah order banyak pun, akak ulang ulang makan pun takpe. Asal dapat rasa Nasi Lemak Nenek.'

Sedangkan tetamu beliau tidak pun mencecah 50orang, tapi Puan Ad sanggup  order lebih. Ok. Triple terharu.

Jadi pada hari berkenaan, sebelum Subuh lagi kami bertungkus lumus menyiapkan order Puan Ad. Bila siap je, terus kami pecut ke hkl. Rempit semata mata nak kejar turn Humaira masuk OT.

Mujur ada adik yang sudi meneman Humaira sewaktu kami siapkan makanan. Lebih mujur bila kami sempat sampai dan menghantar sendiri Humaira ke dalam OT.

Walau sesibuk mana pun, tanggungjawab pada anak tetap nombor 1. Alhamdulillah, syukur sebab dapat puaskan hati pelanggan. Dan pada masa yang sama dapat bersama sama Humaira berjuang untuk menikmati erti sihat tanpa penyakit.

#nenekatering
#nasilemaknenek
#resepinenek
.

REVIEW AISKRIM BABA DI KELANTAN

Saya seorang penggemar aiskrim. Kalau waktu tengah hari membahang, memang it is the perfect time to have an ice cream. Yeah.

Pernah dengar aiskrim baba? Aiskrim ni hanya ada di Kelantan. Asalnya dari Thailand. Rasa aiskrim baba sangat sedap.

Kebanyakannya penjual aiskrim buat sendiri je. Memang totally homemade. Keistimewaan aiskrim ni ialah, ada banyak campuran topping didalamnya. Ada gula kabung, jeli, pulut, roti, chocolate rice, susu cair, jagung, dan kacang. Rasanya sangat memukau.

Rasa lemak aiskrim sungguh terasa di tekak. Fuh. Memang rasa nikmat. Harganya pun tak mahal. RM2 hingga RM5. Saya suka yang spesel. Campur serba serbi. RM5 je.

Masa ni saya beli aiskrim ni di depan Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan. Ada penggemar aiskrim di sini? You should try this.

I bet you won't regret. Ohsem.

.
#jalansambilmakan
.

REVIEW PRODUK NAJLAA

Dah lama saya janji dengan sahabat saya untuk kongsikan pengalaman saya sepanjang menggunakan produk Najlaa.

Tapi saya ambil masa berbulan juga untuk menunaikan janji. Sebab saya nak dapatkan hasil yang betul betul berkesan sampai saya puas hati.

Begini kisahnya. Anak saya, Hana Humaira terutamanya sangat mudah untuk batuk. Batuknya bahaya. Boleh mengakibatkan mudarat kepada dirinya.

Bila Humaira batuk itu memberi petanda kepada saya bahawa ada benda tak kena pada tubuhnya. Sekiranya anda follow cerita Humaira mesti anda tahu macammana strugglenya Humaira untuk hidup sihat seperti kanak kanak lain.

Dan saya sangat sangat teliti dan peka dengan apa yang Humaira guna. Tersilap guna boleh mengundang bahaya. Ke hospital sudahnya.

Jadi saya sentiasa mencari cari produk yang sesuai. Sehinggalah saya berjumpa dengan Najlaa. Alhamdulilah. Pencarian saya terhenti di sini.

Sejak amalkan produk Najlaa, kesihatan Humaira bertambah baik. Walau ada ketika Humaira tetap dirujuk ke hospital, at least dapat kurangkan kekerapan check in hospital. Itu dah satu rahmat buat saya dan keluarga.

Produk ni lebih kepada essential oil, balm baby. Sesuai untuk anak anak yang selalu batuk, dan mudah selsema. Setiap bulan saya repeat order beli baby balm, balm kunyit hitam dan herbal oil.

Semuanya digunakan setiap hari. Setiap kali Humaira batuk. Tinggi harapan saya untuk lihat Humaira hidup tanpa batuk. Betapa sihat itu nikmat.

Jadi di sini saya kongsi dengan anda semua. Kalau ada yang masih tercari cari produk yang selamat untuk anak kecil, saya syorkan produk Najlaa.

Boleh  contact sahabat  saya Amalina Musa dan Norjuliewati Azlina  . Kita cuma berusaha. Allah jua penentunya.

.
#hanahumaira
#anaksyurga
#testimoni
.

NENEK REQUEST NASI LEMAK NENEK

Hajat hati nak gantung periuk belanga bila pulang ke kampung. Nak bercuti dan rehat je.

Tapi rasa tak sampai hati pula bila Nenek sendiri request nak makan Nasi Lemak Nenek. Jadi kami realisasikan hajat nenek sempena majlis doa selamat dan kesyukuran untuk anakanda kami.

Semua kita buat sendiri. Nasi lemak, sambal sotong, ayam goreng, kuih karipap, teh o dan teh tarik.

Untuk makan pagi jemaah masjid dan jiran tetangga serta saudara mara juga sahabat handai. Alhamdulillah sekejap je licin. Rasa puas hati bila nenek sendiri dapat makan nasi lemak nenek.

Padahal susur galur resepi adalah dari nenek sendiri. Nenek yang ajar kami selama ini. Jadi sambil bercuti, sambil kita buat nenek happy.

Terima kasih nenek, sudi perturunkan ilmu untuk diwarisi anak cucu. Kamilah pewaris nenek. Kerana kami anak cucu nenek.

#nenekatering
.

I'm a proud mama

Insan istimewa seperti Hana Humaira memerlukan penjagaan yang rapi memandangkan dirinya yang sensitif dan mudah untuk menjadi alahan kepada makanan, minuman, cuaca.

Makan buahan bersifat air tak boleh, seperti anggur dan tembikai. Minuman ais , aiskrim pantang nombor satu. Mama papa makan aiskrim pun sorok-sorok. Humaira tak boleh tahu. Nanti dia nak juga.

Perubahan cuaca dan suhu mendadak pun tak boleh. Kalau cuaca panas membahang tiba-tiba berubah kepada hujan lebat, bersiap sedialah untuk ambil inhaler.

Batuknya akan berpanjangan. Bikin tak tidur malam. Lebih mudarat, Humaira boleh muntahkan segala yang ada dalam isi perutnya. Paling takut muntah darah.

Terbaru, baru hari ini saya dapat discover another allergence, yang Humaira perlu jauhi sejauh-jauhnya. Allergi terhadap haiwan berbulu pelepah.

Tengah hari tadi Humaira ada bermain dengan burung puyuh yang sedang dalam proses pembersihan. Saya tak perasan masa mana dia ambil burung puyuh, siap gomol peluk macam anak patung. Cepat-cepat saya ambil burung puyuh tersebut dari tangan Humaira.

Keadaan ok sehinggalah petang tadi saya perasan telinga Humaira kemerahan. Matanya bengkak dan sembab. Saya bawa Humaira pergi mandi. Masa tu lah saya perasan badannya naik tompok-tompok merah. Bintat-bintat merah berbenjol jelas kelihatan di serata tubuhnya.

Selesai sahaja mandi terus saya bawa Humaira ke klinik. Doktor mengesahkan bahawa Humaira allergi. Sekarang Humaira dah pun ambil ubat tahan gatal dan allergi. Cuma perlu pemantauan berterusan. Kemungkinan untuk sesak nafas.

Harap-harap tiada mudarat kali ni. Moga tiada episod tidur hospital malam ni. Begitulah mencabarnya nak menjaga seorang anak bernama Hana Humaira.

Kenapa saya tulis di sini? Supaya saya tak lupa. Supaya saya beringat. Paling tidak, kalau suatu hari nanti saya tiada lagi di sisi Humaira, akan ada orang yang memberitahu bahawa Humaira perlu pengawasan dan pemerhatian rapi.

Saya percaya benda ni semua bersifat sementara. Saya yakin semua ni akan habis. Saya selalu berdoa supaya ini semua akan berakhir.

Di mana suatu hari nanti saya akan tersenyum melihat Hana Humaira, dan bangga memberitahu dunia, ' I'm a proud mama.'

.
#hanahumaira
#anaksyurga

---
13/12/2017

PERKAHWINAN ADAAH TANGGUNG JAWAB

Banyaknya orang yang bernikah, yang menganggap boleh selesai masalah, yang haram sudah menjadi sah, hanya sekadar memberi nafkah.

Namun hakikatnya nikah hanyalah permulaan kepada segala tanggungjawab dan amanah. Toleransi kedua dua belah. Realitinya menuntut tolak ansur dan kerjasama.

Saling melengkapi apa yang kurang sesama sendiri. Saling menerima dan memberi. Saling belajar dan upgrade diri.

Bukan sedikit wanita yang takut untuk berumah tangga hanya kerana bimbang kehilangan life dan privasi. Tak kurang juga lelaki yang menganggap isteri boleh disuruh sesuka hati.

Pernah seorang sahabat mengadu bahawa dirinya rasa tertekan hanya kerana dirinya menguruskan rumahtangga seorang diri. Tanpa suami membantu di sisi, yang hanya pandai mengarah itu ini. Juga ada pandangan lelaki, isteri hanya perlu turuti. Tiada hak untuk bersuara memberi pandangan peribadi.

Keadaan sebegini yang memberi pandangan gelap kepada hikmah sebuah perkahwinan yang dirai.

Seorang isteri, selayaknya menjadi permaisuri dalam rumah sendiri, memberi dan mencurah bakti kepada suami dan zuriat yang diberi, bukan dilayan seperti orang gaji, jauh sekali menjadi hamba abadi.

Seorang suami, seharusnya bertindak untuk melindungi, menjadi contoh yang diikuti, membantu saat perlunya di sisi, menyenangkan anak dan isteri.

Rumahtangga itu akan bahagia apabila ada kesamaan. Sama-sama saling memberi. Sama-sama melengkapi. Saat getir setia dihadapi. Saat bahagia tetap dinikmati. Supaya kehadiran saling disyukuri. Dan ketiadaan terasa di hati.

.

MASIH ADA SALURAN YANG BENGKAK

Humaira sudah boleh discharge pada jumaat petang. Alhamdulillah. Sudah boleh tidur di rumah. Humaira boleh bermain riang dengan adik Muhayya.

Cuma fikiran saya masih terngiang-ngiang pesanan doktor tempoh hari. 'Kita masih jumpa 2 saluran yang bengkak. Kita akan refer kepada Dato untuk next plan bagi Humaira.'

Penjelasan doktor itu saya sambut dengan senyuman kosong. Sangkaan saya bahawa semua sudah setel ternyata meleset sama sekali.

Saluran yang bengkak itu adalah saluran esofagus. Membengkak akibat tekanan tinggi dari dalam perut. Portal-hypertension. Yang menyebabkan pengumpulan ascites di bahagian abdomen. Yang membesarkan saiz limpa. Yang bisa membuat perut membuncit. Garis-garis urat hijau sekitar perut jelas kelihatan.

Tekanan tinggi ini yang perlu dikawal. Supaya tidak lagi memecahkan dinding esofagus. Supaya tidak lagi muntah darah. Moga tiada lagi najis bercampur darah.

Pembedahan yang dilakukan 7 bulan lalu diharapkan dapat mengurangkan tekanan abdomen. Tapi saluran yang kembali membengkak memberi signal bahawa tekanan masih tinggi.

Kemungkinan untuk berdarah semula masih ada. Sejarah mungkin berulang. Biarpun apa kesudahannya nanti, saya pasti kesudahannya pasti yang terbaik untuk kami.

Mohon maaf andai ada kawan-kawan yang tertunggu-tunggu update Humaira. Saya tak berkesempatan untuk pegang telefon.

Balik dari hospital pun naik grab. Papa Humaira tak berpeluang untuk menjemput kami kerana perlu menguruskan perihal makanan untuk tempahan katering yang penuh.

Sampai sahaja di rumah, saya sendiri terus ke dapur untuk membantu kelancaran tugas masak-memasak, menghidang, mencuci. Sempat lelap sejam, sebelum kembali bersedia di dapur untuk memasak semula untuk tempahan katering berikutnya.

Beginilah kehidupan Hana Humaira dan Hana Muhayya. Menjadi anak-anak pengusaha katering memang menuntut pengorbanan. Ada masa kami boleh memberi sepenuh perhatian. Ada masa kami perlu ke dapur.

Semuanya dilakukan demi memastikan kelangsungan hidup. Demi memastikan anak-anak mendapat hak untuk mendapat rawatan kesihatan terbaik. Untuk mendapat hak kelengkapan baju seluar serta hak mendapat bekalan susu dan pampers mencukupi.

Biarpun perjalanan kami tak sama dengan orang lain, tapi kami tetap bahagia menikmati waktu-waktu bersama keluarga.

Kerana kita semua tak pernah tahu. Waktu bila, saat mana Allah akan menjemput salah seorang daripada kita.

#hanahumaira
#anaksyurga

---
11/12/2017

PATUTNYA DAH CHECK IN HOSPITAL

Sebenarnya, pada hari ini, dan pada waktu ini, sepatutnya saya dah berada di hospital. Siap sedia untuk cek in. Untuk operation Hana Humaira esok hari.

Tapi saya masih di sini. Masih di rumah. Duduk di anjung rumah sambil menikmati panasnya secawan susu. Satu apa pun tak siap lagi. Baju seluar tak packing lagi.

Dah rasa macam tiada hati. Hilang rasa. Saya tahu esok adalah hari penting Humaira. Tapi saya tak ready. Tak ready nak hadapi realiti.

Hakikat, saya masih berperang dengan hati sendiri. Seakan nak jawab exam, hati berdebar selagi tak setel. Banyak benda saya fikir. Saya cuba pujuk hati. Terimalah takdir Ilahi. Kalaulah, nak buat tu semudah meluah. Kalaulah.

Sekejap lagi lah. Saya siapkan semua. Bersedia untuk berperang semula. Yang pasti, malam ni menghadap dinding dan siling hospital. Hidung menusuk bau ubat. Dan pastinya tak boleh lelap. Belum buat lagi dah terasa penat. Penat badan. Penat otak. Penat jiwa.

Moga segala lelah ini hilang. Moga segala sarat ini tiada lagi. Moga semua baik sahaja. Sebab saya percaya. Disebalik dugaan yang berat, ada darjat yang sedang diangkat.

Mohon doakan segalanya berjalan lancar seperti yang dirancang.

Allah humma yassir wala tuassir. Rabbi tammim bil khair.

#hanahumaira
#anaksyurga
---
05/12/2017

KAMI TELITI DALAM BERBISNES

Dalam apa-apa majlis, bab makan mesti nombor satu. Kenyang perut suka hati.

Dan sebab itulah juga nenekatering menyediakan panduan tertentu dalam berurusan dengan pelanggan dalam membantu kelancaran.

Baik dari segi urusan sebut harga, hingga ke urusan penyediaan. Semua mesti rapi dan teliti. Banyak masa dan tenaga telah tercurah dalam pembikinan standard kerja.

Rasa berbaloi-baloi bila pelanggan menghargai .

Ada yang sedang usha katering ke? Nenekatering sedia membantu.
.

#nenekatering
#caterershahalam

PASTIKAN HUMAIRA SIHAT

Sekarang ni musim cuti sekolah. Semestinya ramai orang yang balik kampung, pergi bercuti, pergi mengembara, pergi shopping. Kami pun ada agenda tersendiri. Yang pastinya berbeza daripada orang lain.

Kami sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi minggu hadapan. Sesuatu yang dah dirancang 2 bulan yang lalu. Humaira will undergo another surgery. Sepatutnya dijadualkan pada minggu lepas. Tapi saya mohon agar dipostponed kerana saya perlu sudahkan segala kerja dan urusan yang perlu.

Doktor pun dah pesan siap-siap. Pastikan Humaira sihat. Jangan sakit. Kalau tak sihat, surgery ini tak boleh dijalankan. Kerana itu jugalah Humaira tak berperjalanan jauh. Disaat orang lain memenuhi jemputan walimah, hanya doa yang mampu kami titipkan. Disaat kawan sebaya mandi kolam, kami bawa Humaira jauh-jauh. Saat rakan sepermainan berlari berkejaran di taman, Humaira hanya mampu bermain di dalam rumah. Disaat yang lain bergembira menikmati cuti panjang, Humaira menghitung hari untuk berjuang.

Kerana perjalanan kita berbeza. Takkan pernah sama. Bukanlah nak membanding perjalanan siapa lebih hebat. Bukanlah nak mengira siapa lebih jaguh. Jauh sekali nak mengukur dugaan siapa lebih berat. Kerana itu semua tak membantu untuk melegakan. Kerana hidup ini bukanlah suatu pertandingan. Tidak bergantung pada ujian siapa lebih gempak.

Tapi hidup ini adalah sebuah perjalanan. Dan kitalah yang berhak menilai indahnya perjalanan sendiri. Menikmati liku liku yang ada. Mewarnai kanvas kehidupan dengan warna warni pengalaman. Yang bisa mengingatkan, betapa hidup ini penuh ketidakpastian.

Hanya satu yang kita perlu tahu, walau apapun terjadi, kita adalah satu. Gelak tawa, air mata, pastinya kita harungi bersama. Kerana kita dah janji, kita akan hadapi susah senang perjalanan, sambil berpimpinan tangan.

Come on, Hana Humaira. One more time, make me proud, like always!

#hanahumaira
#anakksyurga
.
.
---
02/12/2017

BAWA JE KE HOSPITAL

Tadi sewaktu saya scroll facebook, saya terbaca suatu posting di sebuah group ibu-ibu. Posting itu dibuat oleh seorang ibu yang mohon agar ibu-ibu lain mendoakan anak kecilnya yang sedang demam panas, tapi tidak dibawa ke hospital kerana kasihan anak bakal dicucuk jarum.

Dan penuhlah komen dari para ibu yang menasihati agar anak tersebut segera dibawa ke hospital.

Kisah ini mengingatkan saya kepada kisah sendiri. Anak saya pernah beberapa kali dikejarkan ke wad kecemasan. Dan setiap kali juga doktor berkata,

‘Kalau puan terlambat seminit je, mungkin puan dah tak dapat jumpa anak puan’,

‘Mujur puan cepat bertindak, saya sendiri terkejut melihat anak puan sewaktu sampai tadi’,

‘Puan doa banyak-banyak, hanya kuasa Tuhan dapat selamatkan anak puan’.

Saya pernah menyaksikan penyesalan seorang ibu yang kehilangan anaknya hanya semata-mata melengahkan rawatan untuk anaknya.

‘Menyesal pun tak guna, anak akak dah takde’.

Dan saya juga pernah bertemu dengan seorang ibu yang kehilangan anaknya sewaktu para doktor sedang bertungkus-lumus menyelamatkan anaknya,

‘Sekurang-kurangnya saya dah buat yang terbaik untuk anak saya, saya dah serahkan dia pada tangan yang betul.’
.
.
Saya tidak memandang serong pada ibubapa yang memilih untuk mendapatkan alternatif selain daripada perubatan moden. Don’t get me wrong. Saya cuma mengingatkan betapa pentingnya kita mengambil langkah awal. Better safe than sorry. Do not delay. Langkah awal boleh menyelamatkan nyawa.

Anak ialah amanah daripada Allah. Dan amanah akan dipertanggungjawabkan, dan disoal oleh Allah di mahsyar nanti. Dan anak juga ialah harta dan saham akhirat ibubapa. Sebagai ibubapa, kita perlu menyediakan keperluan dan keselamatan anak-anak.

Jangan hanya kerana kita kasihankan anak dicucuk jarum, kita sanggup memperjudikan nyawa anak sendiri. Kita bukan pakar dalam bidang perubatan. Kita tiada alat bantuan sokongan. Tapi kita ada peluang untuk memberi rawatan terbaik kepada anak-anak kita.

Memetik sebuah perkongsian daripada Dr Danial Zainal Abidin, seorang doktor perubatan yang dihormati, juga penulis buku  Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains, beliau pernah berpesan,

'Perubatan moden yang diamalkan oleh hospital-hospital juga merupakan perubatan Islam. Kerana selagi mana tidak bercanggah dengan Al-quran dan sunnah, selagi itu diterima sebagai perubatan Islam, dan halal disisi Islam.'

Buatlah sehabis daya untuk kesihatan anak. Usahalah memberi yang terbaik. Jangan hanya pentingkan hati kita yang tak sanggup melihat anak dicucuk jarum, kita merisikokan keadaan anak. Nyawa tiada ganti.

Apapun kesudahannya, percayalah, kita semua mengharapkan yang terbaik, kita semua berusaha memberi yang terbaik, bertindak awal. Jangan bertangguh, kerana kita tak pernah tahu, mungkin tindakan pantas kita akan berakhir dengan kesyukuran, atau pengabaian kita disambut dengan tangisan.
.
.

KEREDHAAN UNTUK SEBUAH TAKDIR

Sebenarnya, masa mula-mula saya mengandungkan anak sulung, saya memang begitu peka dan sangat berdisiplin dalam menjaga kandungan. Apa sahaja nasihat, semua saya ikut dan amalkan semata-mata untuk memastikan anak mendapat khasiat yang baik dan membesar dengan sihat.

Tapi kita hanya merancang, Allah jua yang menentukan.

Anak saya ditakdirkan lahir dengan empat kecacatan pada jantung serta memiliki saluran portal tersumbat. Memang betul-betul jatuh terduduk. Dunia saya gelap. Saya dilanda kemurungan untuk beberapa ketika.

Dan sememangnya saya tak terlepas daripada nasihat dan pandangan orang sekeliling. Ada yang beranggapan macam-macam.

'Waktu mengandung dulu ada buat benda tak elok ke?'

'Mesti masa mengandung awak ada cakap bukan-bukan.'

'Ni anak awak ada saka menumpang.'

'Awak kena bersihkan diri. Dah kotor sangat ni. Anak awak jadi mangsa.'

And the prejudice goes on...

Agak-agak apa perasaan saya masa tu? Saya sedih sangat. Anytime saya boleh menangis semahunya. Setiap malam saya terjaga kerana mimpi bukan-bukan. Saya pernah menjerit sambil berlari keluar rumah hanya kerana saya terdengar bisikan memanggil nama saya.

Saya mula jadi paranoid. Saya hampir gila. Saya mula menyalahkan takdir. Saya mula menyalahkan diri sendiri. Saya mulai takut nak buat apa-apa. Saya biarkan orang atur hidup saya. Hampir saja saya bunuh diri.

Allah.

Sekali dengar macam tak masuk akal. Macam tak logik. Tapi percayalah. It happened. It was real. It really ruined my life. My life turned upside down.

Sehinggalah satu ketika. Allah bantu saya. Allah hantar orang-orang berjiwa hebat kepada saya.

Dalam ramai orang negatif, ingatlah, lebih ramai orang yang sedang doakan kita. Betapa banyak doa yang terangkat ke langit. Tanpa kita sedar, Allah sedang sambut doa kita.

Pernah seorang sahabat yang senasib dengan saya mengingatkan. "Sebenarnya Allah jawab doa kita melalui anak kita. Masa mengandung dulu, kita berdoa supaya dapat anak yang mendekatkan kita dengan Tuhan. Kita berdoa supaya dikurniakan anak yang kuat dan hebat. Dan inilah cara Allah jawab doa kita. Bila kita tengok keadaan anak, pasti kita lebih banyak berusaha mengadu pada Tuhan. Dan ini menjadikan kita lebih dekat pada Tuhan."

Alhamdulillah. Masa ni saya fikir, saya hanya ada dua pilihan. Sama ada terus merintih meratap, atau saya bangkit menghadap. Sama ada melihat indahnya percaturan Tuhan, atau menghukum buruknya kejadian.

Perlahan-lahan saya kumpul kekuatan sendiri. Saya mula berusaha untuk belajar menerima takdir. Saya mula berani berkongsi dengan orang. Kalau sebelum ini, saya tak pernah declare keadaan anak saya pada public. Kerana sesungguhnya kenyataan itu amat pahit. Bagi yang merasa, pastinya lebih faham.

Saya tidak menidakkan mereka yang cuba untuk menunjukkan empati, tapi lebih ramai yang hanya bersimpati.

Hakikatnya, pada masa fragile inilah bantuan dan sokongan orang sekeliling sangat menyumbang. Sama ada membantu menghancurkan, atau membantu menguatkan. Sebab pada saat ini hati sangat rapuh. Mudah sangat dipengaruhi.

Kerana itu kita sendiri perlu mahir mengendalikan emosi sendiri. Jangan sampai orang ataupun keadaan menguasai kita. Menguasai sebelum dikuasai.

Di sini saya ingin berkongsi bagaimana untuk mengendalikan emosi dan hati ketika berhadapan dengan situasi begini.

1. Dekatkan diri dengan Tuhan.

Sentiasa solat di awal waktu. Kerapkan baca Al quran, dan bertasmik. Hidupkan kembali fikiran kita dengan ayat suci. Lazimi diri buat solat sunat. Usahakan bangun bertahajud setiap malam. Mengadu pada Tuhan. InshaAllah, secara tak langsung kita akan ada kekuatan sendiri.

2. Dapatkan sokongan orang terdekat.

Bila kita lemah, bantuan orang terdekat sangat diperlukan. Orang terdekat saya ialah suami saya sendiri. Dialah yang akan berusaha untuk tenangkan saya apabila saya tiba-tiba hilang semangat atau menjerit seakan dirasuk.

3. Berada dalam kelompok sahabat positif.

Semestinya kita akan down dan rebah terus bila orang mengeluarkan tanggapan negatif. Dan bukan upaya kita untuk menghalang mereka daripada terus berkata-kata. Tapi kita sangat berupaya menjauhkan diri daripada mereka.

Tapis friends di facebook. Pastikan hanya sahabat positif yang muncul di homepage kita.

4. Sibukkan diri dengan perkara yang menjadi kepentingan kita.

Pada waktu ini, kondisi kesihatan anak saya sangat bermakna buat saya. Saya fokus untuk memastikan dia sihat. Untuk menjaga anak, saya sendiri harus sihat. Jadi saya hanya fikir tentang apa yang perlu. Dan saya mula abaikan perkara-perkara yang tidak membawa kebaikan.

Saya percaya bahawa pasti ramai insan di luar sana yang menghadapi situasi sama seperti saya lalui. Apapun keadaannya, sentiasa ingat bahawa setiap masalah ada jalan penyelesaiannya.

Teruskan bersangka baik dengan Allah, dan jangan berhenti menagih janji Allah,

'Maka sesungguhnya selepas kesulitan, ada kesenangan' (Al-Insyirah : ayat 5)

.---

Catatan 27/11/2017

MENGHARGAI PERTOLONGAN

Pagi tadi sewaktu nak keluar rumah, saya ternampak gelagat dua orang jiran. Kelihatan seorang suami sedang mengundurkan kereta keluar pintu pagar rumah, kemudian menggantikan tempat pemandu kepada isterinya, sebelum mereka bersalaman dan si isteri memecut laju keluar keretanya ke sebuah destinasi.

Walaupun pertolongannya nampak simple, sekadar membantu mengalihkan kereta keluar dari garaj hadapan rumah, namun pastinya mampu membuatkan isteri rasa bahagia.

Kadang-kadang kita tak sedar, kebersamaan kita sewaktu pasangan melakukan aktiviti seharian dapat memberi senyuman pada pasangan. Bukanlah bulan bintang yang menjadi cagaran. Tidaklah segunung intan jadi dambaan. Cukup sekadar meluangkan sedikit masa dan kudrat kita dalam hal rumah tangga, dalam menghilangkan keletihan pasangan.

Gembiranya hati apabila pasangan sendiri bersama-sama turut serta. Sungguhpun tidak berpeluang bersama keluarga seharian, namun usaha kita yang sedikit dapat memberi kelegaan. Walau sekadar membantu menggosok baju, hatta dapat membasuh pinggan sendiri, ataupun sekadar membancuh susu anak.

Percayalah, penghargaan itu bukanlah terletak kepada hadiah wang ringgit semata-mata. Kebersamaan itu lebih penting. Jangan biarkan pasangan menguruskan rumah tangga sendiri. Carilah peluang untuk turut serta. Kerana hakikat rumahtangga itu memerlukan kerjasama, yang didasari persefahaman, berteraskan taqwa dan iman. Kerana nabi pernah berpesan,

" Barang siapa menjamin untukku satu perkara, aku jamin untuknya empat perkara. Hendaklah dia bersilaturahim (berhubungan baik dengan keluarga dekat) niscaya keluarganya akan mencintainya, diperluas baginya rezekinya, ditambah umurnya, dan Allah memasukkannya ke dalam surga yang dijanjikan-Nya.”
(Hadis Riwayat: Ar-Rabii’)

.

PERTAMA KALI DAPAT A

Setiap kali ada keputusan peperiksaan besar diumumkan, pasti saya akan mengimbau semula kenangan sendiri. Ingat lagi macam mana strugglenya nak survive dalam lautan himpunan A tertinggi. Senang kata, lagi banyak A yang kita dapat, lagi hebatlah kita. Yeke? Macam tu lah pemikiran budak-budak saya dahulu.

Dalam banyak-banyak subjek, subjek Bahasa Inggeris paling saya surrender. Hancur terus. Sejak darjah satu sampai darjah empat, saya pemegang skor gred E, gagal berturut-turut. Punya kecut perut time kelas BI. Cikgu mengajar di depan kelas, saya menangis ketakutan di belakang kelas. Sebab apa menangis? Sebab rasa diri tak pandai. Rasa dah tahap looser selamanya. Pada penghujung tahun darjah 4, saya dapat markah 48%, lulus. Pertama kali lulus. Melompat kegirangan.

Muncul peperiksaan UPSR, saya kecundang 2 subjek, Bahasa Inggeris dan Sains tak dapat A. Saya teruskan usaha sampai PMR. Masih saya ingat, malam sebelum saya ambil PMR, subjek BI, saya tak tidur malam. Semata-mata stay up ulangkaji subjek BI yang maha payah ni. Guess what? Saya kecundang lagi. Satu-satunya subjek yang saya tak berjaya dapat A.

Masuk tingkatan menengah atas, cikgu buat screening subjek BI. Mana-mana murid yang kecundang, bakal diserap ke dalam diamond class. Saya pastinya tergolong dalam golongan yang perlu digilap. Masuk diamond class, cikgu ajar dari basic.

Beberapa bulan sebelum SPM, saya mula membeli buku ulangkaji Bahasa Inggeris murid sekolah rendah. Yes. Sekolah rendah punya level. Masa tu saya belajar buat latihan sendiri. Sebab saya tahu, level Bahasa inggeris saya masih di tahap sekolah rendah. Bayangkanlah, budak umur 17 tahun, esok lusa nak ambil SPM, boleh menghadap latihan budak sekolah rendah. Saya belajar setiap hari. Sekurang-kurangnya sejam sehari wajib menghadap buku sekolah rendah ni, sebelum kembali menghadap subjek level SPM.

Masa result SPM keluar, memang debar habis. Subjek pertama saya tengok ialah Bahasa Inggeris. Alhamdulillah, pertama kali dalam hidup, saya mendapat A. Dengan keputusan inilah yang akhirnya melayakkan saya untuk melanjutkan pelajaran dalam Bachelor in Education TESOL. Saya Berjaya menggenggam ijazah sarjana  muda pendidikan dari Macquarie University, Sydney, Australia. Walaupun result tidak cemerlang seperti orang lain, tapi dengan result itulah yang membolehkan saya bergelar seorang guru Bahasa inggeris sehingga sekarang.

Kisah saya kisah biasa. Tapi saya takkan lupa. Sebab perjalanan setiap orang berbeza. Ada orang boleh terus main short cut. Ada orang boleh berdesup ikut highway. Ada orang kena ikut jalan berlubang-lubang penuh lopak dan duri.

Saya yakin dan percaya, selagi mana kita usaha, selagi itu ada peluang untuk kita. Tiada apa yang mustahil dalam dunia ni. Sebab kadang-kadang Allah takdirkan jalan kita berliku-liku supaya kita lebih kenal diri sendiri, supaya kita nikmati indahnya jalan yang kita lalui, untuk kita kenang di kemudian hari.

Supaya kita lebih kenal Tuhan, sebab Tuhan dah janji, Dia takkan biarkan tangan yang ditadah ketika menghadap Tuhan, dikembalikan dalam keadaan kosong. 

.

3 ABDUL

Dalam banyak-banyak filem P.Ramlee, saya paling suka cerita 3 Abdul. Kisah perihal rumah tangga yang mendalam maksudnya. Saya paling ingat satu lirik lagu pada satu babak di kandang kuda,

'Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri.'

Mana-mana rumah tangga pun pasti ada pasang surut. Ada yang sekadar merajuk. Ada yang bergaduh teruk.

Banyaknya isteri yang dikaitkan dengan sikap suka membebel. Dah macam sinonim pula bila isteri asyik bercakap.

Bila terjadi sebegini, respon suami terhadap isteri sangat penting. Ada yang sekadar mendengar, ada yang terus mengherdik disuruh diam, ada yang sampai naik kaki tangan.

Astaghfirullah al adzim.

Saya teringat perkongsian dengan teman, yang mengadu bahawa betapa penat lelahnya menguruskan rumahtangga, kerja di pejabat, bisnes online, tekanan sini sana.

Jumpa suami jarang-jarang, kerana selalu bertugas di luar kawasan. Segala urusan rumahtangga diurus sendiri. Dari tugas memandikan anak, mengemas, menghantar anak ke sekolah, bayar bil, isi minyak kereta, bayar smart tag, pendek kata serba serbi di atas bahunya.

Bila suami pulang, hajat hati nak meluah perasaan, nak melepas apa yang dirasa, tapi suami hanya buat acuh tak acuh. Alih-alih disuruh diam.

Maka isteri menyimpan sendiri. Pendam dalam-dalam.

Bukan sedikit yang mengalami situasi seperti ini. Bagi seorang wanita yang sangat rapat dengan emosi, pasti mudah saja hatinya sedih apabila tidak dihiraukan.

Situasi ini kalau dibiarkan akan memburuk. Stress akan menjadi depress. Bila dah sampai tahap depress, tindakan dan pemikirannya sudah diluar kawalan. Dia tak mungkin dapat handle sendirian. Perlu bantuan ubat sebagai sokongan.

Yes, this is real. Jangan dibiar. Sama seperti demam, hanya akan sembuh dengan ubat. Depression is a desease. Takkan sembuh hanya dengan solat, mahupun selawat.

Sebelum stress menjadi depress, bantulah pasangan meredakan tekanan.

Dia hanya perlu seorang rakan sembang. Dia hanya mahu didengari. Dia hanya mahu bersuara.

Dia tidak minta dilayan seperti permaisuri. Dia tetap menjalankan tugas sehari-hari. Tetap memasak, mengemas, menggosok pakaian. Dia bukan mengeluh. Dia cuma menyampaikan apa yang terbuku di hati.

Yang merajuk minta dipujuk. Bukan dibiarkan sendiri. Berilah makanan kesukaannya. Ringankan tulang membantunya.

Sebenarnya pada masa letih begini, hulurkanlah bantuan. Bukan menambah bebanan.

Kalau anak kecil sedang menangis, bantulah menguruskannya. Diamkan si kecil. Kalau dilihat anak-anak belum mandi, mandikanlah. Kalau dilihat rumah bersepah, kemaskanlah. Kalau dilihat baju tak berampai, sidaikanlah.

Percayalah, pada keadaan stress sebegini, bantuan dari segi khidmat tenaga lebih diperlukan berbanding khidmat nasihat.

Ramai orang cenderung menjadi ustaz ustazah untuk memberi nasihat. Konon-konon rasa empati. Laju je mulut menyuruh 'Sabarlah,' 'Solat banyak-banyak,'  'Dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang,'

Bukan bermaksud menyuruh lupakan Tuhan. Cuma pada waktu ini, mereka hanya perlu calm down. Mereka tengah serabut. Rimas. Lelah. Letih. Mengantuk. Pada waktu fragile begini, ucapan berbentuk nasihat hanya ibarat percikan api ke dalam minyak petrol. Hanya menunggu masa untuk marak menyala.

Pinjamkan  telinga mendengar keluhan. Biarkan mereka luahkan apa yang terbuku. Elakkan dari memberi nasihat. Cukup sekadar berada di sisi dan diam.

Apabila semua yang terbuku sudah terluah, apabila badan yang lesu sudah rehat, apabila perut yang lapar sudah kenyang, apabila yang belum mandi sudah mewangi, pada masa itu mereka akan kembali menjadi bidadari.

Kembali menjadi suri dalam rumahtangga.
Mengorbankan segala masa dan tenaga hanya untuk family. Yang akan memberi sejuta warna warni. Kerana dalam family, merekalah Iron Lady.

.
.

JAUHI ORANG KETIGA DALAM PERKAHWINAN

Berborak dengan seorang teman, asalnya sekadar sembang-sembang kosong. Tak sangka pula sampai berair matanya bila saya bertanya khabarnya.

Sahabat saya ni seorang ibu tunggal yang berjuang membesarkan anak-anak sendirian. Tambah respect pabila beliau juga terpaksa bangun sendiri meneruskan hidup dengan bantuan ubat. Tanpa ubat-ubatan, bisa saja beliau mendengar bisikan-bisikan bermain di telinganya.

Schizophrenia. Suatu kesakitan pada mental yang menyebabkan gangguan pemikiran dan tindakan.

Punca asal permasalahannya tidak lain, hubungan rumahtangga retak akibat campur tangan orang ketiga.

Apabila muncul hasut-menghasut, pasangan sendiri dilihat terburuk, tiada apa lagi yang boleh selamatkan hubungan. Yang nanti menjadi mangsa ialah anak-anak.

Anak-anak hilang tempat percaya. Perlu berbahagi kasih ayah dan ibu.

Pesan sahabat sebelum kami akhiri perbualan, 'Kalau nak buat apa-apa keputusan, fikirlah akibat pada anak-anak'.

.
.
Banyak hubungan terputus akibat lebih percayakan orang ketiga. Dalam hubungan rumahtangga, yang terdekat ialah suami, isteri , dan anak-anak. Adik-beradik, ipar duai, ibu ayah, keluarga mertua, rakan taulan ialah individu luar yang memerhati dari jauh.

Kerana yang berdepan dengan realiti rumahtangga adalah kita. Betapa pentingnya kita menjadi sahabat terbaik pasangan. Jadilah tempat bergantung. Pinjamkan telinga kita untuk pasangan meluah keluh kesah. Pinjamkan mata kita untuk melihat  betapa setianya dia berkorban. Pinjamkan bahu kita untuk dia menangis bersandar.

Usah beri kesempatan pada yang lain untuk menggantikan tempat kita. Apabila kita lebih percayakan orang lain melebihi pasangan, di situ bermulanya kehancuran. Dan yang akan menerima akibat hanyalah anak-anak. Bukan orang ketiga yang menjadi punca porak peranda.

Buat semua yang menyayangi hubungan, peliharalah diri daripada berprasangka buruk dengan pasangan. Carilah kebaikan dalam setiap tindakan.

Jadilah teman rapat kepada pasangan. Berkongsilah apa sahaja. Luahkan apa yang terpendam. Carilah jalan penyelesaian. Kerana sesungguhnya dalam setiap konflik ada solusi terbaik.

Semoga dengan adanya sifat saling percaya, akan menjaga hubungan rumah tangga, terlindung dari bahaya, hasutan orang ketiga, yang bisa saja membuat hubungan berantakan.
.
.
Ya Allah, lindungilah setiap hubungan rumah tangga dari jahatnya bisikan syaitan. Amin.

.

PERKAHWINAN YANG MAKIN BERUSIA

Dalam setiap perkahwinan, pasti mengharapkan hadirnya 3 perkara, sakinah, mawaddah wa rahmah.

Sakinah, yang memberi ketenangan. Kalau sebelum berkahwin hati asyik resah gelisah, sesudah berkahwin pasti berharap ketenangan. Begitu juga dengan mawaddah, iaitu kecintaan. Saling mencintai pasangan, dengan bersulam doa tiljannah.

Dua perkara ini mudah menghiasi perhubungan di awal perkahwinan. Setiap hari diisi dengan moment indah.

Seiring meningkatnya usia perkahwinan, rahmah makin menghilang. Sifat rahmah yang menghormati pasangan kian lenyap sementelah masing-masing mula mengenali pasangan sendiri. Sisi-sisi hitam putih pasangan mula kelihatan.

Pabila masing-masing fokus meneruskan kerjaya, menguruskan hal rumah tangga, masing-masing mengulangi rutin sama. Pada waktu inilah lelah mula terasa.

Teringat pesanan Dr.Muhaya dalam wawancara WHI dalam slot 'Punca Rumahtangga Dingin', beliau menegaskan bahawa banyak hubungan rumahtangga tidak bahagia akibat hilangnya rasa hormat.

Untuk melahirkan rasa hormat, pasangan perlu rasa dihargai. Banyaknya isteri hilang hormat pada suami apabila rasa tak dihargai. Mulai meninggi suara apabila rasa jauh, rasa disia-sia. 

Banyak yang memendam rasa bertahun-tahun. Cuba untuk bertolak ansur menerima pasangan seadanya tanpa menyedari bahawa perasaan yang dipendam sudah menjadi dendam.

Akibat daripada kepenatan menahan diri dari bersuara, memendam rasa akhirnya binasa. Hingga ada ibu yang melepaskan geram pada anak sebagai pengganti rasa tak puas hati pada suami. Banyak juga kes isteri kemurungan menanggung depresi. Bukan sedikit perkahwinan yang terlerai akibat tiada toleransi.

Sahabat terbaik suami isteri adalah pasangan sendiri. Masing-masing perlu diberi peluang untuk berterus terang. Dijelaskan apa yang dimahukan dalam perhubungan.

Ada suami yang suka isteri membancuh air kopi setiap pagi. Ada isteri yang suka suami memuji.

Tetapi apabila masing-masing tidak berterus terang dan menganggap supaya pasangan faham sendiri, di sinilah bermulanya rasa tak dihargai. Mula menuntut hak, hingga terlupa tanggungjawab.

Ikatan perkahwinan adalah sebuah ikatan  'mitsaqun ghaliza', ikatan yang kuat, disebut dalam al-quran. Namun ikatan ini boleh saja renggang apabila hati tidak lagi difahami.

Hanya dengan komunikasi, semua rasa dikongsi. Beri peluang untuk meluah rasa hati. Apabila suami isteri saling memahami, di situ hadirnya rasa sakinah, mawaddah yang dikuatkan lagi dengan rahmah.

InshaAllah.

.
.
.